Wednesday, 28 October 2015

Perayaan Hari Raya Aidilfitri (Melayu Islam)

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak.Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini.

Aidilfitri yang kita rayakan pada hari ini merupakan tanda kemenangan umat Islam setelah berjaya mengharungi ibadah puasa selama sebulan dengan menahan diri daripada makan dan minum serta mentarbiahkan diri dengan mengerjakan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan demi menunaikan kewajipan sebagai seorang Mukmin.  Justeru, sambutan Hari Raya Aidilfitri membawa pengertian kebersihan jiwa dan kesucian hati serta kesegaran tubuh dan minda.  Dengan memiliki jiwa dan hati yang suci bersih, umat Islam berkumpul beramai-ramai sambil menghulurkan tangan tanda bermaaf-maafan antara satu sama lain dalam suasana harmoni dan persaudaraan.

Pada malam Hari Raya Aidilfitri (Selepas Azan Maghrib), Takbir Raya mula berkumandang di coron-corong radio, di Masjid-masjid, di Surau-surau dan Televisyen. 
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahilhamdu.
1. Bertakbir

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T:“Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h:“Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

2. Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h:“Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata:“Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.



Kenali sebagai kuah lontong. Hidangan ini adalah juadah wajib yang dihidangkan ketika musim dipagi raya. Juadah yang masih tidak ketinggalan zaman untuk musim Hari Raya Aidilfitri adalah hidangan sayur lodeh atau juga dikur lodeh ini sedap dimakan bersama ketupat dan sambal kacang atau sambal ikan bilis goreng. Hidangan ini dipenuhi dengan pelbagai sayur seperti lobak, kacang panjang, kobis, sengkuang, terung dan banyak lagi.

 Nasi impit memang salah satu menu wajib pagi raya.Nasi impit kalau kat kelantan lagi ohsem makan dengan sambal ikan atau kelapa. Ore klate panggil 'nasi kapit ssambal'.   Yum3


 Tanpa lemang ketika raya memang tak lengkap kan , FAVOURITE kalau lemang sangat ohsem dimakan dengan rendang daging. Nak buat memang leceh, beli je senang kan.

 Tapai daun getah atau tapai daun pisang yang paling femes kalau masa raya. Cara buat tapai ni banyak pantang larang yang kena ikut, kalau tak kena memang tak menjadi.

Gulai serati paling femes dekat Kelantan kalau hari raya, sebab nya gulai ni susah nak dapat kalau hari biasa. Dulu-dulu  setiap tahun arwah tok wan buat gulai serati sampai 3-4 ekor. Sapa-sapa yang tak pernah makan memang rugi sebab rasa daging serati ni memang lain dari yang lain. Mohon terliur..hehe

Satay pun salah satu menu wajib pagi raya. Letak kuah banyak-banyak, yang ni memang ohsem!!! Pekena dengan KUAH KACANG memang cenggini (ThumbsUp)


3. Memakai pakaian yang indah

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata:“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah:

“Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita. Sabda Rasulullah s.a.w:

“Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.



 

Salam AidilFitri dari kami, Afiqah dan Keluarga <3


4. Tempat perlaksanaan solat hari raya

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musolla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musolla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musolla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:

“Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dari seluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

5. Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata:“Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata:

“Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:

“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

Mengerjakan Solat Hari Raya Aidilfitri di
Masjid Sultan Ahmad Shah (Masjid Negeri Pahang) :)

6. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari raya Aidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:

“Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

 Sesuai dengan kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, marilah kita merayakan hari yang mulia ini dengan semangat muhibah dan persaudaraan.  Saya begitu gembira apabila menyaksikan setiap suku kaum di negeri ini terus mengamalkan pendekatan ziarah-menziarahi untuk sama-sama menikmati suasana Hari Raya ini.  Seperti juga musim-musim perayaan yang lain, Hari Raya merupakan kesempatan terbaik untuk kita mengeratkan tali silaturrahim dan persefahaman antara satu sama lain dalam masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa.  Demi memastikan sambutan Hari Raya ini terus dirayakan dalam suasana penuh kemeriahan dan kegembiraan, saudara Muslim sudah tentulah mengalu-alukan kunjungan rakan-rakan mereka daripada suku kaum yang lain pada musim perayaan ini.
 



 Saya berharap suasana kunjung-mengunjungi di kalangan masyarakat dapat dikekalkan sampai bila-bila demi merapatkan perhubungan dan penghargaan antara pelbagai suku kaum di negeri ini.  Sememangnya menjadi tradisi kita di negara ini menyambut perayaan-perayaan begini dalam semangat Malaysia.  Kita perlu sedar bahawa elemen penting dalam melahirkan integrasi antara kaum ialah kepekaan kita terhadap kebudayaan yang                                                               dimiliki oleh kaum-kaum yang lain kerana ini                                                          akan menjamin pembentukan jati diri Malaysia yang sebenar.




Justeru, sempena kehadiran hari yang mulia ini yang juga kita raikan bersama-sama dengan sambutan 50 tahun kemerdekaan negara pada tahun ini, kita perlu terus mengingatkan diri kita bahawa kita semua rakyat Malaysia walau apapun bangsa, agama dan budaya kita.  Pada masa yang sama, kita perlu terus menyemai semangat kesatuan dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.  Dengan usaha ini, InsyaAllah kita akan berupaya meruntuhkan segala halangan yang boleh memisahkan antara kita untuk menjadi bangsa Malaysia yang berjaya.  Dengan berkonsepkan politik pelbagai kaum juga setiap suku kaum itu mempunyai tempat dan peranan masing-masing dalam membangunkan negara ini.

Kita juga perlu terus memantapkan perpaduan di kalangan rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya.  Ini tidak kurang penting dalam usaha kita mencapai kemajuan negara dan keharmonian hidup rakyat.  Ini juga menjadi faktor utama betapa perlu kita berinteraksi antara satu sama lain dalam kehidupan kita seharian.  Sambutan-sambutan perayaan seperti Hari Raya ini merupakan wadah untuk rakyat menjalinkan hubungan di kalangan mereka dengan lebih erat dan mesra lagi.





                                                                                                             Created By, 
                                                                                                             Afiqaharifen

No comments:

Post a Comment